Assalamualaikum w.b.t
Lama dan agak - agak inilah tempoh yang paling lama blog ini tidak diupdate, mungkin saluran lain lebih popular, wassap dan fb. Tetapi catatan ini dibuat kerana ia luar dari biasa, ya.. banjir yang belum pernah saya saksikan.
Jika sebut bah atau banjir terbesar di Kelantan, orang lama pastinya menceritakan tentang bah pada tahun 1927, 67 dan 2004. Tahun 1967 lebih dekat penceritaannya kerana ia melibatkan keluarga ibu dan ia berlaku dalam bulan Ramadhan. Tahun 2004 juga dikatakan terbesar tetapi kali ini 2014 bagi saya dan ahli keluarga ia adalah paling besar dan dahsyat.
Ini bukan kerana air bah yang warna merah, warnanya sama dengan warna bah sebelum ini tetapi tahap kepantasan air, kenaikan air dan ke dalamannya amatlah diluar jangkaan. Mujur angka korban tidak begitu banya, tetapi ratusan rumah dihanyutkan oleh air. Yang rumahnya terselamat pula, habis musnah segala kelengkapan rumah, pakaian, makanan dan peralatan elektrik. Salah seorang sahabat menceritakan air naik pada waktu malam, waktu magrib setepatnya, selepas menunaikan solat maghrib air yang tadinya hanya di paras lutut telah menjangkau paras pinggang! Hanya dalam masa 35 minit!
Kebetulan pula sahabat baik saya, Roslan Puteh, Yb Guchil, menceritakan secara ringkas bahawa banjir kali ini sangat teruk, sehinggakan bandar Kuala Krai lumpuh sama sekali dan rumahnya serta mertuanya juga hanya nampak bumbung. MasyaAllah! Rumahnya jika difikirkan secara logi terletak di kawasan tinggi namun tetap ditelan air bah. Saya boleh fikirkan betapa kritikalnya Yb sekarang, masalah rakyat, keluarga terdekat dan wang!
Bah kali ini juga seolah - oleh disiarkan secara langsung menerusi sms,wassap,fb dll.Beratus keping imej banjir diterima melalui wassap hampir setiap hari. Ada yang meyiarkan kemusnahan total, hanyut dibawa arus, bot penyelamat terbalik bahkan ada juga video saat - saat orang mati lemas dan tidak kurang juga video mengenai kerang mendarat di beberapa pantai di Terengganu.Pendek kata peristiwa air bah kali ini memang mendapat liputan dan kupasan luar biasa serta membawa kemusnahan yang besar sekali.
Ketika banjir masuk hari ketiga, berbondong-bondong anggota sukarelawan, baik dari NGO,badan korporat, kerajaan negeri dan juga agensi kerajaan persekutuan, bertungkus lumus menyelamatkan mangsa serta memberi bantuan sebaik mungkin kepada mangsa banjir . Ada yang begitu perihatin sehingga sanggup bermalam berhari-hari dalam memberi bantuan banjir, ada yang tampak tidak bermaya, ada yang memberi sumbangan peribadi berlori-lori makanan, ada yang mengambil kesempatan untuk menunjukkan keperihatinan dan mungkin ada yang menolong atas faktor kepentingan peribadi dan politik. Apa pun yang paling utama semoga mangsa banjir mendapat bantuan tanpa mengira warna parti, idologi dan anutan agama. Soal keikhlasan biarlah Allah jua yang mengukurnya.
Kini Kelantan berada dalam pasca banjir.. bahkan tak mustahil banjir boleh berlaku lagi. Dalam wassap beratus teori menceritakan punca banjir besar pada kali ini, dari kemusnahan hutan hinggalah disebabkan empangan kenyir II yang melepaskan air. Allah jualah yang lebih mengetahui dan mungkin hasil kajian ilmiah boleh membantu dalam merungkai dari manakah air yang banyak.. sangat banyak ini melimpahi bumi Kelantan. Politik orang kita khususnya orang melayu sangatlah hebat. Kadangkala diluar akal pemikiran kita, ada ahli politik mengatakan banjir kali ini tidak seteruk 1967, justeru ? Ini bukan persoalan teruk atau tidak, ia melibatkan kemusnahan harta benda yang direntap dalam sekelip mata.Ia sepatutnya memikirkan bagaimana menggantikan tempat tinggal, setidaknya menyediakan penempatan sementara, bekalan air bersih, keperluan asas dan sebagainya.Mungkin selepas ini, pihak yang berkuasa akan menyiapkan pelan khas yang menyeluruh dan komprehensif dalam membantu mangsa banjir
Dengan waktu sesi persekolahan yang sudah bermula, ramai mangsa yang memerlukan pakaian dan alat tulis, ramai juga NGO kini bertungkus lumus mengedarkan pakaian keperluan sekolah kepada mangsa pada ketika ini. Saya juga berterima kasih kepada semua kenalan yang sanggup datang membantu mangsa banjir , dari seluruh Malaysia, dan hari ini sedikit sedih kerana satu kecelakaan berlaku kepada sukarelawan banjir yang datang dari Selangor terkorban berhampiran persimpangan Bukit Besi menuju ke Kota Bharu. Di sisi mangsa terdapat bungkusan untuk diberikan kepada mangsa banjir. Al Fatihah.
Walaupun ramai yang melihat banjir memberikan kesan yang negatif pada jangka masa pendek, tetapi Allah tdak zalim, mungkin ada hikmah disebaliknya.
mungkin banjir kali ini :
Mendekatkan kita dengan Allah si Pencipta Alam
Menyedarkan kita kepentingan persiapan awal banjir
Menyedarkan kita bahawa hidup ini perlu saling bergantungan
Menyedarkan kita bahawa tidak ada yang mustahil disisiNya
Mengeratkan hubungan berjiran
Mengeratkan ikatan silaturrahim
Pentingnya hidup bersatu padu
Mengajar kita bahawa nikmat tidaklah kekal
Menerbitkan rasa kasih dan sayang sesama insan
Pentingnya hidup bermasyarakat
mungkin juga
Banjir kali ini memusnahkan ribuan sarang tikus dibandar utama negeri
Membersihkan segala kotoran saluran
Memusnahkan markas pil kuda di sepanjang sungai golok
dan banyak lagi
Wallahuallam