Saturday, November 14, 2020

Suka duka 2020...

Semasa artikel ini ditulis, hanya tinggal sebulan lebih lagi, tahun 2020 akan menutup tirainya. Bila disebut tahun 2020, teringat kisah lagu "wawasan 2020" pada zamanku remaja dahulu ketika menjalani kursus BTN pada tahun 94 dan 95. Diperkirakan pada tahun 2020 Malaysia maju makmur, rakyat dalam negara berpendapatan tinggi,penduduk berkembang pada beberapa peratus setahun sehingga 2020 menjadi 70 juta orang dan negara pada masa itu mempunya industri berteknologi tinggi.

Mungkin ada benarnya perkara di atas menjadi kenyataan, dan ada juga yang tidak kesampaian.Teringat suatu perbualan dengan teman rapat di matrikulasi, Allahyarham Jesni (Al-Fatihah) yang menceritakan pada saat itu mungkin kita dah mempunyai anak nak masuk ke universiti atau anak dah ramai.. Jika Jesni masih hidup... Ya betul... anakku yang sulung kini berjaya menyabung ke matrikulasi Changloon.Sama tempat dengan bapanya! Mudahan-mudahan berjaya menamatkan pengajian dengan jayanya.

Disebalik kisah anak-anak, terselit peristiwa duka di sepanjang 2020. Aku pada penghujung tahun 2019 pada Disember, aku kehlangan ayah Joe@Cikgu Johalani bapa saudara dan selang 6 bulan kemudiannya isterinya Che Romah@Rahmah bt Hj Yaacob meninggal akibat ketumbuhan di kepala,  meninggalkan 2 anak.Sebelum ibu saudaraku meninggal, seorang lagi bapa saudara disebelah bapa, Hj Zakaria b Jusoh turut meninggal dunia akibat penyakit lelah. Jadi aku kehilangan 3 saudara terdekat dalam tahun ini... namun Allah swt menetapkan dalam qada dan qadar bahawa tahun ini aku juga kehilangan bapa mertuaku Nik Abdullah b Harun yang berusia 76 tahun pada Jumaat pagi, 6 November 2020. Bapa mertua yang ku panggil "Abah" sebenarnya sudah mempunyai penyakit kencing manis dan jantung yang agak serius sepanjang 2 tahun kebelakangan ini. Sepanjang 2 tahun ini kerap Abah keluar masuk wad, namun selepas menjalani pembedahan kecil akibat kencing manis, kesihatannya semakin merosot.

Aku dan isteri kerap, secara bergilir-gilir dengan adik beradik yang lain membawa Abah ke wad.Bila membawa Abah ke hospital, aku dan isteri pernah menyebut inilah ujian Allah terhadap kita. Kita berdoa untuk berpindah ke kawasan berdekatan dengan ibubapa ketika mereka masih ada. Alhamdulillah Allah swt kabulkan. Dan Allah terus menghantar Abah untuk diujinya kami berdua. Ya Allah... sepanjang setahun lebih Abah keluar masuk hospital, Allah memberikan kami peluang untuk berbakti kepada Abah... lebih-lebih lagi isteriku yang sangat prihatin kepada arwah Abah. Tidak pernah kulihat orang yang sehebat isteriku yang begitu bersemangat untuk menjaga arwah Abah dihospital sehingga terlupa untuk makan dan berehat.Perkara yang menjadi ujian padaku adalah ketika menemani Abah ke tandas hospital. Abah jatuh di dalam tandas. Aku sempat memapah Abah di dalam tandas.Kulihat Abah menangis dibahuku. Abah menangis semahunya."Both of you make me so proud".. bisik Abah ke telingaku.

Sebenarnya, bagi diriku, teringat pesanan ibu dan bapaku, jagalah ibu bapa ketika mereka masih hidup. Ingat, apa yang kita perlakukan kepada ibubapa kita, pasti anak-anak kita akan melakukan perkara yang sama. Walaupun Abah adalah ayah mertua, aku anggap ia seperti ayahku sendiri.Aku harap ketika aku meninggal kelak, anak-anakku lah yang menguruskan jenazahku dari memandikan,mengkafankan dan mengebumikan termasuklah menyembahyangkan jenazahku kelak... Ya Allah makbulkanlah doaku. Aku teringat akan sahabat yang pernah menceritakan mengenai hal yang sama. Menjaga orang tua yang sakit dan selalu ke hospital untuk medical checkup atau rutin. Insyaallah ganjaran yang besar menanti anda di dunia lagi. Abah bertuah mempunyai anak-anak yang penyayang dan sanggup menjaga Abah ketika sakit.Nik Hasni,Nik Husna,Nik Amirul Hafidza,Nik Amir dan Nik Akramin antara paling banyak menjenguk Abah...semoga anak-anakku seperti mereka jua.

Untuk titipan khas buat abah.....


Ya Allah ..Engkau ampunilah dosa2 Abahku..

Ya Allah .. Engkau Terimalah segala amal dan kebajikannya..

Ya Allah .. Engkau Terimalah segala sedekah jariahnya

Ya Allah .. Engkau Terimalah segala doa dari anak dan isterinya..

Ya Allah .. Engkau Masukkanlah roh arwah Abah ke dalam golongan orang -orang yang Engkau Kasihi dan beramal soleh.

Ya Allah .. Engkau Masukkanlah roh arwah Abah ke dalam golongan orang -orang yang Muliakan

Ya Allah .. Engkau makbulkanlah semua doa Arwah ketika beliau masih hidup

Ya Allah .. Engkau makbulkanlah doa-doa kami dan kaum kerabat kami.

Ya Allah .. Engkau jadikanlah kuburnya antara taman-taman syurgaMu

Ya Allah .. Engkau letakkan rohnya dalam burung-burung yang bertebangan di syurgaMu

Ya Allah .. Ampunilah Kami dan Ampunilah segala dosa-dosa kami.....

Amiin amiiin ya Rabb aalamiin.

Tuesday, December 18, 2018

Asyraf, Aiman dan Amni .......... you make me so proud!

Alhamdulillah .. setelah hampir 3 tahun tak menulis.. kali ini rasa amat bersemangat nak tulis.. dan memang kena tulis...

Apapun tahniah kepada anak-anak papa yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan PT3. Buat Asyraaf, tahniah kerana sanggup pergi belajar al-quran dan hafal surah-surah penting serta menjadi pelajar contoh.

Buat Amni, biar pun hanya dapat 3A .. you have done a great job!! from zero to hero! dan yang paling papa bangga .. Aiman.. tahniah.. .. berjaya buat papa menangis... (habih pitis buat beli hadiah  hahaha) 10As dalam PT3... you are really amazing Aiman! InsyaAllah next year harap harap abang Asyraaf pulak cemerlang dalam SPM.



Teringat Papa pada Amni dan Aiman pada awal tahun ni, selepas ujian pertama, tiada satu subjek pun dapat A.. Amni matematik pun E..adoi, tapi Papa yakin Aiman dan Amni boleh berjaya.. fokus elok elok dalam kelas dan buat kerja rumah.

Alhamdulillah juga maklong bagi tips cara ajar anak-anak,  pagi petang siang malam dalam hanya 2 bulan terakhir sebelum exam, banyak yang dapat dipertingkatkan... tak lupa buat cikgu yang penuh komited, doa ibu dan ayah serta rakan taulan... akhirnya dapat juga mencapai keputusan yang memberangsangkan.

Tapi ingat Aiman dan Amni.... masih banyak cabaran di hadapan.... buat Aysraaf tumpu betul betul tahun ni.... Papa dan Mama sentiasa mendoakan yang terbaik!






Sunday, January 04, 2015

Banjir 2014: Dugaan bagi seluruh rakyat negeri Kelantan, Apakah hikmah disebaliknya?

Assalamualaikum w.b.t

Lama dan agak - agak inilah tempoh yang paling lama blog ini tidak diupdate, mungkin saluran lain lebih popular, wassap dan fb. Tetapi catatan ini dibuat kerana ia luar dari biasa, ya.. banjir yang belum pernah saya saksikan.

Jika sebut bah atau banjir terbesar di Kelantan, orang lama pastinya menceritakan tentang bah pada tahun 1927, 67 dan 2004. Tahun 1967 lebih dekat penceritaannya kerana ia melibatkan keluarga ibu dan ia berlaku dalam bulan Ramadhan. Tahun 2004 juga dikatakan terbesar tetapi kali ini 2014 bagi saya dan ahli keluarga ia adalah paling besar dan dahsyat.

Ini bukan kerana air bah yang warna merah, warnanya sama dengan warna bah sebelum ini tetapi tahap kepantasan air, kenaikan air dan ke dalamannya amatlah diluar jangkaan. Mujur angka korban tidak begitu banya, tetapi ratusan rumah dihanyutkan oleh air. Yang rumahnya terselamat pula, habis musnah segala kelengkapan rumah, pakaian, makanan dan peralatan elektrik. Salah seorang sahabat menceritakan air naik pada waktu malam, waktu magrib setepatnya, selepas menunaikan solat maghrib air yang tadinya hanya di paras lutut telah menjangkau paras pinggang! Hanya dalam masa 35 minit!

Kebetulan pula sahabat baik saya, Roslan Puteh, Yb Guchil, menceritakan secara ringkas bahawa banjir kali ini sangat teruk, sehinggakan bandar Kuala Krai lumpuh sama sekali dan rumahnya serta mertuanya juga hanya nampak bumbung. MasyaAllah! Rumahnya jika difikirkan secara logi terletak di kawasan tinggi namun tetap ditelan air bah. Saya boleh fikirkan betapa kritikalnya Yb sekarang, masalah rakyat, keluarga terdekat dan wang!

Bah kali ini juga seolah - oleh disiarkan secara langsung menerusi sms,wassap,fb dll.Beratus keping imej banjir diterima melalui wassap hampir setiap hari. Ada yang meyiarkan kemusnahan total, hanyut dibawa arus, bot penyelamat terbalik bahkan ada juga video saat - saat orang mati lemas dan tidak kurang juga video mengenai kerang mendarat di beberapa pantai di Terengganu.Pendek kata peristiwa air bah kali ini memang mendapat liputan dan kupasan luar biasa serta membawa kemusnahan yang besar sekali.

Ketika banjir masuk hari ketiga, berbondong-bondong anggota sukarelawan, baik dari NGO,badan korporat, kerajaan negeri dan juga agensi kerajaan persekutuan, bertungkus lumus menyelamatkan mangsa serta memberi bantuan sebaik mungkin kepada mangsa banjir . Ada yang begitu perihatin sehingga sanggup bermalam berhari-hari dalam memberi bantuan banjir, ada yang tampak tidak bermaya, ada yang memberi sumbangan peribadi berlori-lori makanan, ada yang mengambil kesempatan untuk menunjukkan keperihatinan dan mungkin ada yang menolong atas faktor kepentingan peribadi dan politik. Apa pun yang paling utama semoga mangsa banjir mendapat bantuan tanpa mengira warna parti, idologi dan anutan agama. Soal keikhlasan biarlah Allah jua yang mengukurnya.

Kini Kelantan berada dalam pasca banjir.. bahkan tak mustahil banjir boleh berlaku lagi. Dalam wassap beratus teori menceritakan punca banjir besar pada kali ini, dari kemusnahan hutan hinggalah disebabkan empangan kenyir II yang melepaskan air. Allah jualah yang lebih mengetahui dan mungkin hasil kajian ilmiah boleh membantu dalam merungkai dari manakah air yang banyak.. sangat banyak ini melimpahi bumi Kelantan. Politik orang kita khususnya orang melayu sangatlah hebat. Kadangkala diluar akal pemikiran kita, ada ahli politik mengatakan banjir kali ini tidak seteruk 1967, justeru ? Ini bukan persoalan teruk atau tidak, ia melibatkan kemusnahan harta benda yang direntap dalam sekelip mata.Ia sepatutnya memikirkan bagaimana menggantikan tempat tinggal, setidaknya menyediakan penempatan sementara, bekalan air bersih, keperluan asas dan sebagainya.Mungkin selepas ini, pihak yang berkuasa akan menyiapkan pelan khas yang menyeluruh dan komprehensif dalam membantu mangsa banjir

Dengan waktu sesi persekolahan yang sudah bermula, ramai mangsa yang memerlukan pakaian dan alat tulis, ramai juga NGO kini bertungkus lumus mengedarkan pakaian keperluan sekolah kepada mangsa pada ketika ini. Saya juga berterima kasih kepada semua kenalan yang sanggup datang membantu mangsa banjir , dari seluruh Malaysia, dan hari ini sedikit sedih kerana satu kecelakaan berlaku kepada sukarelawan banjir yang datang dari Selangor terkorban berhampiran persimpangan Bukit Besi menuju ke Kota Bharu. Di sisi mangsa terdapat bungkusan untuk diberikan kepada mangsa banjir. Al Fatihah.

Walaupun ramai yang melihat banjir memberikan kesan yang negatif pada jangka masa pendek, tetapi Allah tdak zalim, mungkin ada hikmah disebaliknya.

mungkin banjir kali ini :

Mendekatkan kita dengan Allah si Pencipta Alam
Menyedarkan kita kepentingan persiapan awal banjir
Menyedarkan kita bahawa hidup ini perlu saling bergantungan
Menyedarkan kita bahawa tidak ada yang mustahil disisiNya
Mengeratkan hubungan berjiran
Mengeratkan ikatan silaturrahim
Pentingnya hidup bersatu padu
Mengajar kita bahawa nikmat tidaklah kekal
Menerbitkan rasa kasih dan sayang sesama insan
Pentingnya hidup bermasyarakat
 mungkin juga
Banjir kali ini memusnahkan ribuan sarang tikus dibandar utama negeri
Membersihkan segala kotoran saluran
Memusnahkan markas pil kuda di sepanjang sungai golok

dan banyak lagi

Wallahuallam