Monday, June 25, 2012

Tahukah anda, terdapat kisah yang menarik mengenai dua orang PEMUDA ansar yang menyertai peperangan Badar. Mereka adalah Muaz bin Afra' dan Auf bin Afra'. Peperangan Badar di mulai dengan perlawanan satu lawan satu di antara tentera Islam dan bukan Islam. Apabila Utbah bin Rabi'ah (seorang panglima@pembesar bukan islam) mencabar untuk beradu tenaga, mereka berdua turut keluar bersama Abdullah bin Rawahah. Ketika di dalam peperangan , Abdul Rahman bin Auf berada bersama dengan kedua pemuda ansar tersebut. Di dalam hatinya (Abdul Rahman), beliau mengharapkan orang yang berada di kiri dan kanan beliau adalah orang yang lebih dewasa dan lebih berpengalaman dalam peperangan.


Namun, sesuatu perkara telah berlaku justeru mengubah fikiran beliau. Salah seorang daripada pemuda ansar tersebut datang membisikkan sesuatu kepada Abdul Rahman supaya tidak didengari oleh pemuda yang kedua. Katanya " Wahai Pakcik, adakah Pakcik kenal Abu Jahal? Aku dengar dia adalah orang yang paling banyak menyakiti Muhammad. Tunjukkan dia kepadaku. Aku ingin membunuhnya." Begitulah kemarahan pemuda tersebut kepada orang yang telah banyak menyakiti Rasulullah yang dikasihinya. Abdul Rahman bin Auf terkejut dengan pertanyaan tersebut dan beliau berjanji untuk menunjukkan Abu Jahal kepadanya. Selepas itu, pemuda kedua juga menanyakan perkara yang sama kepada Abdul Rahman bin Auf. Pada ketika itu, Abdul Rahman bin Auf berasa lebih tenang berada di tengah-tengah pemuda tersebut.


Abu Jahal di kawal ketat oleh orang-orangnya. Abdul Rahman menunaikan janjinya dengan menunjukkan kepada dua remaja tersebut yang mana satu Abu Jahal. Belum sempat Abdul Rahman menghabiskan percakapannya, kedua-duanya sudah melompat menuju ke tempat Abu Jahal. Mereka merempuh barisan tentera bukan Islam sambil menebas kiri dan kanan dengan pedang mereka. Akhirnya, mereka berjaya sampai kepada Abu Jahal dan memukul Abu Jahal dengan pedang mereka sehingga Abu Jahal jatuh.

Semua orang tidak menyangkakan tindakan kedua pemuda tersebut. Abu Jahal telah cedera parah namun masih lagi bernyawa. Auf bin Afra', iaitu salah seorang pemuda tersebut berada di tengah-tengah tentera bukan Islam dan telah di bunuh oleh Ikrimah(Ikrimah juga akhirnya menjadi pahlawan tentera islam bersama sahabatnya yang tidah pernah terkalah siapa lagi idolaku Pedang Allah Khalid Al Walid.. ikuti kisahnya nanti) iaitu anak Abu Jahal yang berada berhampiran dengan ayahnya. Manakala, Muaz bin Afra' (pemuda lagi satu) sempat berundur tetapi malangnya, tangan beliau terpotong dan masih tergantung di badan. Beliau membalut tangannya itu dan terus berperang. Namun, tangannya itu menganggu pergerakannya. Lantas, beliau memijak tangannya itu dengan kaki dan memutuskannya agar beliau lebih mudah bergerak. Dia terus berperang dan akhirnya syahid dalam peperangan Badar.

Begitutlah hebatnya iman pemuda-pemuda tersebut. Walaupun masih belasan tahun, namun telah memainkan peranan yang begitu penting di dalam peperangan dalam menegakkan Islam.

No comments: